Pengumuman


Harap maklum bahawa blog ini dalam proses kemaskini dari segi susun atur, tagging dsb. Post post tertunda pula akan di selesaikan.

Showing posts with label Trans Gopeng-Cameron. Show all posts
Showing posts with label Trans Gopeng-Cameron. Show all posts

Monday, June 23, 2014

Trans Gopeng - Cameron 2014 [Lastman Log]



Lastman Log Trans Gopeng – Cameron 2014

Hari 1 @ Jumaat, 11 April 2014:
1105: Empang Pecah… Mula
[45m]
1150: Lunch awal
[01j 30m]
1320: Redah hutan buloh
[35m]
1355: Selekoh sungai (port lunch)
[01j 15m]
1510: Seberang sungai
[02j 30m]
1740: Redah hutan kemudian pacak
[01j 05m]
1845: Menyusur tebing sungai
[10m]
1855: Tiba di Camp Site Usop

Hari 2 @ Sabtu, 12 April 2014:
1030: Mula… Good Morning
[02j 30m]
1300: Sungai Lebah (lunch)
[01j 25m]
1425: Tebing batu curam
[50m]
1515: Menyusur anak sungai
[25m]
1540: Seberang sungai
[30m]
1610: Kg Sg Attap
[30m]
1640: Tiba di Camp Site Buloh Betong

Hari 3 @ Ahad, 13 April 2014:
1010: Mula… lalu buloh betong area
[50m]
1100: Randuk sungai
[01j]
1200: Simpang sungai (lunch)
[03j 35m]
1535: Mula pacak
[03j 35m]
1910: Cua Overnite
[55m]
2005: Last waterpoint
[01j 30m]
XXXX: Cameron view
[01j]
XXXX: Kg Sg Ruil


 
Peace Yo!!! Ini baru permulaan
Yeah... sudah sampai camp site
Senget menget beg aku rupanya
Terlalu banyak peluh... banyak lebah hinggap
Semenjak 1997 merentas hutan yang sama... bersama
Terakhir hingga akhirnya


Berdasarkan log lama yang disimpan, Log Trans Gopeng - Cameron 2-6 Jun 1999, secara ringkasnya begini. 
  • Peserta: Seramai 29 orang (Bouken Team + Hospital Besar Ipoh)
  • Hari pertama kami masuk lewat petang dan bermalam dahulu di Ladang kelapa sawit
  • Hari kedua tidur di Camp Site Lubuk Lang selepas berjalan selama 7 jam. 
  • Hari ketiga tidur di Camp Site Last Water Point selepas berjalan selama 8 jam suku.
  • Hari keempat tiba di Kg Sg Ruil pada jam 4.10 petang dan bermalam di Camp Site Sg Pauh.
  • Hari kelima balik naik bas dari Tanah Rata.



Wednesday, June 18, 2014

Trans Gopeng - Cameron 2014 [Part 3]


Trans Gopeng - Cameron
11 - 14 April 2014

Hari 3 @ Ahad, 13 April 2014:
Tiada istilah Good Morning pada pagi ini. Perjalanan jauh bakal dilalui… makanan spare, air isotonic, air sedap, kacang, coklat… semuanya akan dikeluarkan satu persatu sepanjang perjalanan nanti. Bagi yang sudah biasa dengan trek disini pasti sudah faham di mana dan bila akan terasa lapar. Tidak dapat dipastikan kenapa dan mengapa di tempat sama ia akan berlaku. Dalam beg aku ada sebuku roti Gardenia Coklat, Tolebron besar, coklat, loli pop dan air isotonic. Pengalaman mengajarku agar sediakan makanan spare untuk digunakan pada hari ini. Roti Gardenia Coklat dibawa hanya untuk tujuan ini menggantikan roti pong pada edisi trans tahun lalu. Tolebron dan selebihnya adalah umpan untuk menaikkan semangat pendaki lain juga tekak diri sendiri. Perancangan ini telah pun wujud sebelum masuk ke dalam hutan lagi.

Perjalanan pada hari ini banyak melalui sungai selain daratan seperti kebiasaannya. Permulaannya melalui denai hutan kemudian menyeberang beberapa batang sungai sehinggalah kami meredah sungai selama sejam. Meredah yang dimaksudkan adalah meranduk melawan arus tidak kira tengah atau tepi sungai. Asalkan mampu dipijak dan tidak dalam… di situlah kami menapak dan memijak samada dasar sungai mahupun batuan. Rasa macam nak mandi je setiap kali terjumpa kawasan yang menarik tapi tak laratlah asyik nak buka turun naik beg je. Setelah lebih kurang sejam meredah sungai barulah kami sampai ke penghujung. Disini adalah cabang Y dan kami semua makan tengahari dulu di sini. Apa yang dimakan hanyalah apa yang ditapau pada paginya selain air teh yang dimasak. Di sini aku ambil kesempatan untuk mandi lagi kerana tiada sungai untuk mandi lagi selepas ini melainkan di camp forest nanti. Selesai menjamu selera kami semua meneruskan perjalanan ke arah kiri. 

Turun naik bukit dan meredah hutan bermula. Kesusahan mendaki mulai terasa tambah tambah aku yang berada di kumpulan belakang. Trek sudah lunyai dan berjalan bersama insan insan yang kekurangan tenaga dan sudah mula mental memberi impak psychology. Ada OKU yang sudah tidak larat, ada yang mula mengada, ada yang sampai nak pijak mana nak pegang mana pun dah tak tahu. Tidak semua perlakuan mereka ini benar kerana ada juga yang ota je lebih. Masa inilah tolebron, lollipop digunakan untuk menaikkan semangat mereka. Kita berada di atas dan bertanya kepada mereka yang sudah pewai ini nak atau tak nak makanan minuman sedap yang ditawarkan. Jika mereka mahu maka cepat datang sini. Datang sini bererti mereka terpaksa sambung mendaki lalu tinggalkan penat tambahkan semangat untuk mendapatkan tawaran yang diberikan. Kadang kadang kesabaran boleh menipis dan beg yang dipikul terasa semakin berat. Jika tidak biasa dengan keadaan begini lebih baiklah berjalan di hadapan kerana dugaannya datang dari diri sendiri sahaja tidak berkaitan dengan orang lain yang perlahan dan sebagainya.

Mendaki punya mendaki akhirnya kami sampai juga di kawasan permatang dimana kecuraman mendaki sudah tidak curam lagi. Dibiarkan OKU OKU tadi jalan dulu dihadapan manakala kami tetap menjadi kumpulan terakhir bagi memastikan tiada sesiapa tertinggal di belakang. OKU OKU dan mereka mereka yang berada di belakang tadi sudah hilang menandakan mereka benar benar tidak berdaya untuk mendaki dalam keadaan curam tadi. Sekarang mereka sudahpun kehadapan meninggalkan kami yang kekal menjalankan tanggungjawap. Tiba last waterpoint pun tidak nampak kelibat mereka ini. Di sini kami makan roti gardenia yang dibawa dan minum air isotonic serta makan kacang. Rehat rehat relax relax barulah sambung semula perjalanan. Air di last waterpoint ini berbuih dan berwarna kekuning orengan mungkin disebabkan akar kayu. Air ini boleh diminum… aku sudah pun minum air ini hampir setiap kali melalui kawasan ini sejak dulu lagi. Waktu ini sudahpun gelap. Headlamp sudahpun digunakan.

Perjalanan disambung sehinggalah kami jumpa OKU OKU dan mereka mereka yang berada dihadapan tadi. Rupanya mereka tersasar dari laluan. Disinilah gunanya jarak antara kami dan mereka. Ketika mereka berpatah balik ketika inilah kami bertemu. Kalau tak silap sudah tidak jauh dari Cameron view. Perjalanan di sambung semula… trek menurun menandakan kami sedang menghala ke Kg Sg Ruil iaitu kampung orang asli yang mengalamai tanah runtuh tahun lalu. Trek menurun yang dahulunya boleh berlari kini tidak lagi. Bagaikan menurun meredah belukar di dalam gua. Sangat berbeza suasananya. Akhirnya kami tiba di padang bola di mana sekarang ia tidak lagi berbentuk padang bola tapi tanah lapang yang sedang dimajukan. Bangunan bangunan sedang dibina menggantikan kampong orang asli sebelumnya. Kami tertanya tanya manalah rumah orang asli pertama yang kami jumpa dan sering beri makanan lebihan seperti beras dan gula. Bagaimana pula kami nak lalu sini apabila projek pembangunan di sini sudah siap nanti? Mujur kali ini kami dapat melaluinya.

Selesai melalui tanah merah tapak perumahan tibalah kami di jalan besar. Ada sebuah pacuan empat roda bermurah hati menghantar OKU OKU dan mereka mereka tadi ke Camp Forest. Thanks a lot. Di simpang jalan anak buah Bekas Komando sudah menanti dengan Avanza. Kasut ditanggal, sandal dipakai lalu beg dimasukkan ke dalam Avanza lalu kami teruskan berjalan kaki sahaja ke camp forest sambil memeluk tubuh kesejukan sesekali lari lari anak. Tiba di camp forest hampir pukul 11 malam patutlah sejuknya bukan main lagi. Lenovo aku sudahpun kehabisan bateri ketika ni. Sampai di camp forest kami mandi dan makan. Airnya punyalah sejuk. Bayangkan jelah mandi air sungai di Cameron highland pada pukul 11 malam tanpa water heater. Sejuknya menusuk ke tulang. Oleh kerana mandi pun sudah sangat lewat maka kesejukan ini perlu dipanaskan dengan dua lapis seluar, dua lapis sweater dan dua lapis stoking dan selapis snow cap. Lagi lambat mandi lagi sejuk dirasai. Niat dihati nak ke tanah rata untuk makan malam sudah dibayangkan semasa dalam hutan lagi jadi ia dilaksanakan juga walaupun sudah lewat. Balik daripada Tanah Rata kami pun tidur.
Buah ni rupa dan saiz macam dukung... isinya masam macam cermai bijinya macam rambai ada urat yang kita boleh putuskan.
Antara sungai yang diredah
Mandi di tempat lunch
Rehat sebentar tarik nafas
Di last waterpoint
Batu sempadan 2 negeri Pahang-Perak
Air kuning keorengan yang dimaksudkan. Rasanya sedikit payau.
Kami yang terakhir
Tiada lagi kampung orang asli di sini

Lagi gambar Hari 3 bolehlah ke blog Cik Aishah.  


Hari 4 @ Isnin, 14 April 2014:
Pagi ini kami berjalan kaki ke pekan Tanah Rata. Cuaca tidaklah sesejuk mana. Tiba di tanah rata kami pun sarapan pagi di kedai mamak. Selepas itu Cari bas untuk ke Tapah. Kami beruntung sebab Mirul berjaya bodek aci kaunter tiket untuk naik bas eksress. Kalau tak jawapnya kena tunggu lagi sejam setengah sebab bas antara bandar baru sahaja lepas melepasi kami yang ketika itu sedang angkat beg baru lepas habis sarapan.

Tiba di Tapah kami menunggu lagi dalam dua jam untuk naik bas ke Kampar pula. Di sini kami pergi makan dulu kat salah sebuah kedai makan yang aku tak ingat namanya. Tak dapat nak promote kat sini. Siap makan cadang nak berjalan kaki ke rumah Jaafar… tiba tiba pulak hujan turun dengan lebatnya jadi terpaksalah kami menunggu lagi sambil memasing dah boring dah xde apa nak disembangkan sampailah isteri Jaafar sampai selepas dia pulang dari kerja ambil kami semua. Memasing ambil kereta dan menghala ke destinasi masing-masing.


Tahun depan kita ke Trans Gopeng-Cameron lagi dan lagi.




Friday, June 13, 2014

Trans Gopeng - Cameron 2014 [Part 2]



Trans Gopeng - Cameron
11 - 14 April 2014



Hari 2 @ Sabtu, 12 April 2014:
Good Morning… ucapan ini bukan sekadar ucapan selamat pagi tapi lebih bererti trek pacak seawal pendakian. Tiada belas ehsan diberikan oleh sumber alam selain kejutan ke atas kaki dan keseluruhan badan. Belum sempat nak panaskan badan lutut pula dikejutkan dengan pendakian melebihi empat puluh lima darjah. Anak mata tak dapat merenung ekor mata tak dapat mengagak sejauh mana harus kaki melangkah sederas mana jantung berdegup selaju mana nafas dihirup hanya untuk melepasi cabaran good morning ini. Melepasi cabaran ini bererti selesai sudah cabaran pacak pada hari ini. Bukannya tiada pacak yang lain tapi tidaklah seteruk yang ini.

Perjalanan diteruskan merentasi hutan dan sungai. Kegembiraan aku berulang kembali apabila hujan menemaniku sepanjang perjalanan. Sudah penat mendaki kami berkumpul semula di satu kawasan agak lapang. Kemudian perjalanan disambung semula dengan menuruni bukit sehinggalah sampai di sungai untuk makan tengahari. Aku paling suka sungai ni. Di tebing sungai terdapat batu batu yang sesuai untuk anda duduk dan melepak. Sesuai juga untuk sidai tuala yang lembap tatkala matahari menyinarkan cahayanya. Sungainya pula terdapat ikan tengas berenang2 ketepian dapat dilihat bagi yang memerhatikannya. Arus sederhana dengan kedalaman paras pinggang memberikan kepuasan untuk berendam… berenang juga berbaring. Hati hati sedikit jika ke tepi tebing sebelah hutan kerana parasnya dalam sehingga hapus kepala. Tidak perlu cemas kerana hanya beberapa meter sahaja arus akan membawa ke kawasan cetek secetek paras lutut. Sungai yang menarik ini lebih kurang seluas kontena. Kontena pendek atau panjang kenalah datang merasainya sendiri. Sungainya yang sejuk telah Berjaya mengecutkan jari jemari kawan aku yang teruja untuk berendam dan berselfie di dalam air. Di sini kami hanya makan tapau lebihan sarapan pagi dan juga masak Maggie kari taruk telur. Di port yang sama juga aku bawa sepinggan Maggie dan makan di atas batu sambil kaki terendam dalam sungai. Hanya bontot ke atas sahaja tidak kena air. Satu perkara sahaja yang kurang disenangi di sini iaitu kedatangan lebah yang suka menghurung badan dan juga beg dibahagian padding. Tujuan si lebah adalah untuk menghisap garam dari peluh kita. Bukan setakat lebah malah rama rama juga akan hinggap tak sedarkan diri. Cara untuk mengurangkan daripada rimas diganggu oleh lebah dan rama rama adalah dengan mencuci bahagian berpeluh itu tadi. Sebab itulah aku pergi mandi dan tenyeh tenyeh baju bagi hilang peluh. Key kepala sengaja aku letakkan atas batu… sedutlah hisaplah garam daripada peluhku itu. Selesai mandi perjalanan disambung semula.

Trek seterusnya melalui denai hutan semulajadi. Adalah tidak digalakkan sama sekali berjalan seorang diri... perhatikanlah dan ikutlah tanda tanda yang telah ditinggalkan supaya tidak tersasar dari laluan. Hujan lebat yang menemani sepanjang perjalanan kami telah membecakkan lantai bumi. Dua batang sungai kami redahi dimana sungai yang kedua memaksa kami menggunakan tali untuk menyeberang. Arusnya yang deras pada kedalaman paras peha sememangnya memerlukan bantuan keselamatan lain. Adanya tali lebih meyakinkan untuk menyeberang kerana rasa diri lebih selamat. Tidak pernah aku kena guna tali untuk menyeberang di kawasan ini sebelum ini membuatkan aku tersenyum riang malah sangat teruja untuk menyeberang. Terasa bagai hendak ulang alik pulak. Tiada ketakutan langsung.

Trek mendaki pada kadar biasa menanti sebaik menyeberang sungai. Mendatar sesekali menurun sesekali adalah perkara biasa. Berjalan dan terus berjalan sehinggalah tiba di Camp Site Buloh Betong. Terdapat anak sungai dan juga pohon pohon buloh di kawasan ini. Tiba di sini pada pukul empat setengah petang iaitu masih awal. Jika diteruskan perjalan ke Camp Site Kaki Gunung Ruil maka akan sampai selepas senja pula jadi adalah lebih baik bermalam sahaja di sini. Kerja kerja menebas dilakukan oleh para lelaki tegap dan bersemangat waja. Aku sengaja biarkan insan insan ini untuk merasa feel menebas di kawasan ini. Ini kan malam pertama mereka di sini. Pokok pokok di sini senang ditebas jadi tidak hairanlah bersih kawasan perkhemahan kami. Siap buat laluan selesa untuk ke sungai lagi. Kontraktor tak bertauliah menyusun anak batu sepanjang laluan juga membuat empangan kecil. Anak sungai di sini cumalah paras betis dan paling dalam pun paras lutut. Jadi kenalah mandi pakai periuk yang telah digazetkan sebagai cebok. Aktiviti biasa seperti pasang gound, fly, unggun api, memasak dan makan dilaksanakan sebelum masing masing melelapkan mata pada hari ke dua di dalam hutan. Zzzzzz.
Sempat selfie sementara menanti orang hadapan mendaki.
Masih awal lagi bolehlah rapat rapat
Tak jauh pun berjalan dah tiba masa untuk makan tengahari
Sos cili kegemaranku
Insan normal dan OKU bekerjasama. Tiada bezanya.
Ini yang dikatakan menyampaikan rezeki. Garam daripada peluhku makanan mereka..
Pasti melalui kawasan ini. Apa yang pasti beratkan badan ke kanan.
Buluh melintang pukang.
Anak sungai paras betis je.
Sungai yang diceritakan.
Best!!! kataku pada Jaafar. 
Kegembiraan aku terserlah lagi di sini.
Besar beg dari orang.
Jom jom daki daki lagi.
Di persimpangan dilemma. Kami mengarah ke Gunung Ruil manakala membelakang ke arah Barat Tea.
Kawasan ini pernah menjadi tapak perkhemahan bagi lebih kurang 80 orang peserta pada 1997.
Dah boleh senyum bila dah sampai sini. Nama tempat ni Kg Attap
Penebas berkaliber. Habis lapang tempat ni dikerjakannya.
Salah satu menu tampak menarik dan sedap.
Beginilah keadaan kami sementara makanan dimasakkan. Chef di hadapan... Tukang potong di belakang.



Lagi gambar Hari 2 bolehlah ke blog Cik Aishah.  




Tuesday, June 10, 2014

Trans Gopeng - Cameron 2014 [Part 1]



Trans Gopeng - Cameron
11 - 14 April 2014

Ekspedisi Trans Gopeng-Cameron Highland telah pun aku harungi sejak 17 tahun lalu. Setiap kali ada jemputan setiap kali itulah juga aku akan meredah hutan yang sama tanpa rasa jemu walau sedikit pun. Rugi rasanya jika tidak dapat turut serta menandangkan ekspedisi ini biasanya dijalankan setahun sekali sahaja. 

Kali ini, tujuannya khusus untuk melatih OKU-OKU yang bakal mendaki Gunung Kinabalu pada bulan Oktober nanti.

Sehari dua sebelum Hari 1, seperti biasa edisi membeli belah dilaksanakan dan shopping mall yang dipilih kali ini ialah Mydin Mall, USJ 1.

Hari 1 @ Jumaat, 11 April 2014:
Seawal sebelum subuh lagi kami semua sudah bersedia untuk bertolak ke Kampar Perak dari Bdr Sri Permaisuri. 3 orang menaiki CCP dan 2 orang menaiki WTE meluncur laju melalui PLUS Highway. Kami singgah sebentar di salah sebuah kawasan rehat untuk solat subuh. Tiba di Kampar dan parking kereta kat rumah kawan kemudiannya sambung perjalanan menaiki van sekolah ke Gopeng pula. Di Gopeng kami bersarapan pagi dahulu sebelum meneruskan perjalanan menghala ke kg orang asli melalui Gaharu Valley dan ladang kelapa sawit. Makanan tenghari siap ditapau dari restoran berhampiran. Perjalanan sekarang lebih mudah daripada dahulu dimana kenderaan boleh dipandu masuk sampai ke hujung (Empang Pecah) yang mana telah banyak menjimatkan masa dan tenaga jika dibandingkan dengan dulu.

Beg yang berat digalas dengan kegembiraan kerana ada kawan turut serta buat kali pertamanya. Kataku pada mereka trip ni ialah trip santai… layan sungai. Dari empang pecah ke tempat lunch sepatutnya.. tidak kesampaian berikutan kebanyakan peserta sudah lapar dan matahari juga sudah terpacak atas kepala. Aku juga terasa bebannya memandangkan beg baru Gregory Palisade 80 digalas buat pertama kalinya. Air dimasak teh dibancuh sedia diminum itupun bukan kami yang masak dan bancuh tapi rakan sepejuangan yang melakukannya. Menu kami yang paling sedap dan banyak memandangkan penapau adalah muka baru dalam aktiviti ini. Ada bagusnya disuruh muka baru yang menapau barulah terasa perbezaan menunya kalau tak mau nasi dengan telur dadar je. Menapau menjimatkan masa dan tenaga… tak perlu masak memasak dah. Setelah makan kami sambung semula perjalanan dan berhenti rehat di (Selekoh Sungai) iaitu tempat makan tengahari yang sepatutnya. Di sini lagi menarik untuk makan tengahari sebenarnya dan air yang dalam cuma bersebelahan sahaja. Dicadangkan jamak takdim di sini… jika terlewat tiba di camp site pun… zohor dan asar sudah selesai.

Perjalanan disambung semula.. masing masing masih bertenaga dan sang pacat sudah mula bertindak melancarkan serangan. Serangan pacat biasanya kat orang orang baru je bermakna aku terkecuali la. Takde maknanya… aku diserang oleh tentera pelapis menyebabkan kebanyakan serangan dapat ditapis dengan mudah. Tidak lama berjalan trip yang dikatakan santai sudah mula diragui oleh kawan kawanku. Karaguan kini telah bertukar kepada sememangnya pada lewat petang ketika menghampiri Camp Site Day 1 kerana hujan yang menemani kami sepanjang perjalanan menyukarkan pergerakan. Aku suka trekking dalam hujan dan aku sangat enjoy kali ni. Kesukaran yang dirasai memberikan satu nikmat bagi aku. Tidak rasa dahaga disamping semua seluar baju basah lenjun itu yang mendamaikan. Tidak perlu risau akan barangan dalam beg basah kerana semuanya telah dimasukkan ke dalam plastik sampah besar lagi tebal. Menghampiri ke campsite kami terpaksa menyusuri tebing sungai. Pada musim kering paras air cumalah paras paha sahaja tapi kali ini melebihi paras pinggang sampaikan air menenggelamkan bontot beg. Ukuran kedalaman dibuat pada sudut yang sama setiap kali aku melalui kawasan ini oleh aku sendiri. Jangan pula diukur dengan dada itik kerana parasnya tetap sama. Kawasan inilah yang paling mencabar dan bahaya untuk hari pertama.


Di camp site ini (Camp Usop) kami membersihkan badan dan bermalam. Salah satu kata kata kawan aku yang tidak boleh dilupa, “Aku nak balik”. Ahahaha… kelakar rasanya. Aku cuma tersenyum sambil mengulangi kata kataku sebelum ini…”Trip santai je… layan sungaiiiiii” dengan nada yang sama seperti sebelumnya. Seorang lagi pula berkata…”Tang mana santainya ntah… tak tahulah camner ko boleh suka datang sini”. Lebih kurang begitulah luahan perasaan mereka. Aku cuma tersenyum puas kerana intonasi yang aku gunakan untuk menarik mereka turut serta dikategorikan berjaya. Aku memang layan sepanjang perjalanan… tak sangka pula jadi beban bagi mereka. Anggap jelah cabaran dilalui sebagai persediaan untuk ke Gunung Murud ye.
Inilah kampung orang asli yang dimaksudkan.
Masa kecik tak naik van sekolah.. dah besar baru naik
Proses menurunkan beg bermula. Sejauh ini sahaja van mampu bawa kami
Yang mana normal yang mana OKU?
Aku dengan beg baru Gregory Palisade 80. Berat seh!!!
Lunch Time... masing masing dah lapar.
Experienced dihadapan. acehceh.
Terjatuh tergolek tu biasa bagi si Ecah ni
Masih terlalu awal untuk basahkan kasut.
Aku tetap ingat sungai ini. Sungai yang memberi kenangan pada aku pada 1997.
Bagai cendawa tumbuh selepas hujan.
Trek mendaki diredahi.
Ini bukan peluh tapi air hujan yang meleleh turun.
Mencabar tapi menarik untuk mengatasinya. Kalau dulu ikut atas bukit ni je.
Bagi yang dah biasa pasti tahu di mana tempat perlu dipijak walaupun tak nampak.
Sila lihat paras air itu... makin lama makin dalam kerana paras air makin naik.

Lagi gambar Hari 1 bolehlah ke blog Cik Aishah.