Pengumuman


Harap maklum bahawa blog ini dalam proses kemaskini dari segi susun atur, tagging dsb. Post post tertunda pula akan di selesaikan.

Friday, June 13, 2014

Trans Gopeng - Cameron 2014 [Part 2]



Trans Gopeng - Cameron
11 - 14 April 2014



Hari 2 @ Sabtu, 12 April 2014:
Good Morning… ucapan ini bukan sekadar ucapan selamat pagi tapi lebih bererti trek pacak seawal pendakian. Tiada belas ehsan diberikan oleh sumber alam selain kejutan ke atas kaki dan keseluruhan badan. Belum sempat nak panaskan badan lutut pula dikejutkan dengan pendakian melebihi empat puluh lima darjah. Anak mata tak dapat merenung ekor mata tak dapat mengagak sejauh mana harus kaki melangkah sederas mana jantung berdegup selaju mana nafas dihirup hanya untuk melepasi cabaran good morning ini. Melepasi cabaran ini bererti selesai sudah cabaran pacak pada hari ini. Bukannya tiada pacak yang lain tapi tidaklah seteruk yang ini.

Perjalanan diteruskan merentasi hutan dan sungai. Kegembiraan aku berulang kembali apabila hujan menemaniku sepanjang perjalanan. Sudah penat mendaki kami berkumpul semula di satu kawasan agak lapang. Kemudian perjalanan disambung semula dengan menuruni bukit sehinggalah sampai di sungai untuk makan tengahari. Aku paling suka sungai ni. Di tebing sungai terdapat batu batu yang sesuai untuk anda duduk dan melepak. Sesuai juga untuk sidai tuala yang lembap tatkala matahari menyinarkan cahayanya. Sungainya pula terdapat ikan tengas berenang2 ketepian dapat dilihat bagi yang memerhatikannya. Arus sederhana dengan kedalaman paras pinggang memberikan kepuasan untuk berendam… berenang juga berbaring. Hati hati sedikit jika ke tepi tebing sebelah hutan kerana parasnya dalam sehingga hapus kepala. Tidak perlu cemas kerana hanya beberapa meter sahaja arus akan membawa ke kawasan cetek secetek paras lutut. Sungai yang menarik ini lebih kurang seluas kontena. Kontena pendek atau panjang kenalah datang merasainya sendiri. Sungainya yang sejuk telah Berjaya mengecutkan jari jemari kawan aku yang teruja untuk berendam dan berselfie di dalam air. Di sini kami hanya makan tapau lebihan sarapan pagi dan juga masak Maggie kari taruk telur. Di port yang sama juga aku bawa sepinggan Maggie dan makan di atas batu sambil kaki terendam dalam sungai. Hanya bontot ke atas sahaja tidak kena air. Satu perkara sahaja yang kurang disenangi di sini iaitu kedatangan lebah yang suka menghurung badan dan juga beg dibahagian padding. Tujuan si lebah adalah untuk menghisap garam dari peluh kita. Bukan setakat lebah malah rama rama juga akan hinggap tak sedarkan diri. Cara untuk mengurangkan daripada rimas diganggu oleh lebah dan rama rama adalah dengan mencuci bahagian berpeluh itu tadi. Sebab itulah aku pergi mandi dan tenyeh tenyeh baju bagi hilang peluh. Key kepala sengaja aku letakkan atas batu… sedutlah hisaplah garam daripada peluhku itu. Selesai mandi perjalanan disambung semula.

Trek seterusnya melalui denai hutan semulajadi. Adalah tidak digalakkan sama sekali berjalan seorang diri... perhatikanlah dan ikutlah tanda tanda yang telah ditinggalkan supaya tidak tersasar dari laluan. Hujan lebat yang menemani sepanjang perjalanan kami telah membecakkan lantai bumi. Dua batang sungai kami redahi dimana sungai yang kedua memaksa kami menggunakan tali untuk menyeberang. Arusnya yang deras pada kedalaman paras peha sememangnya memerlukan bantuan keselamatan lain. Adanya tali lebih meyakinkan untuk menyeberang kerana rasa diri lebih selamat. Tidak pernah aku kena guna tali untuk menyeberang di kawasan ini sebelum ini membuatkan aku tersenyum riang malah sangat teruja untuk menyeberang. Terasa bagai hendak ulang alik pulak. Tiada ketakutan langsung.

Trek mendaki pada kadar biasa menanti sebaik menyeberang sungai. Mendatar sesekali menurun sesekali adalah perkara biasa. Berjalan dan terus berjalan sehinggalah tiba di Camp Site Buloh Betong. Terdapat anak sungai dan juga pohon pohon buloh di kawasan ini. Tiba di sini pada pukul empat setengah petang iaitu masih awal. Jika diteruskan perjalan ke Camp Site Kaki Gunung Ruil maka akan sampai selepas senja pula jadi adalah lebih baik bermalam sahaja di sini. Kerja kerja menebas dilakukan oleh para lelaki tegap dan bersemangat waja. Aku sengaja biarkan insan insan ini untuk merasa feel menebas di kawasan ini. Ini kan malam pertama mereka di sini. Pokok pokok di sini senang ditebas jadi tidak hairanlah bersih kawasan perkhemahan kami. Siap buat laluan selesa untuk ke sungai lagi. Kontraktor tak bertauliah menyusun anak batu sepanjang laluan juga membuat empangan kecil. Anak sungai di sini cumalah paras betis dan paling dalam pun paras lutut. Jadi kenalah mandi pakai periuk yang telah digazetkan sebagai cebok. Aktiviti biasa seperti pasang gound, fly, unggun api, memasak dan makan dilaksanakan sebelum masing masing melelapkan mata pada hari ke dua di dalam hutan. Zzzzzz.
Sempat selfie sementara menanti orang hadapan mendaki.
Masih awal lagi bolehlah rapat rapat
Tak jauh pun berjalan dah tiba masa untuk makan tengahari
Sos cili kegemaranku
Insan normal dan OKU bekerjasama. Tiada bezanya.
Ini yang dikatakan menyampaikan rezeki. Garam daripada peluhku makanan mereka..
Pasti melalui kawasan ini. Apa yang pasti beratkan badan ke kanan.
Buluh melintang pukang.
Anak sungai paras betis je.
Sungai yang diceritakan.
Best!!! kataku pada Jaafar. 
Kegembiraan aku terserlah lagi di sini.
Besar beg dari orang.
Jom jom daki daki lagi.
Di persimpangan dilemma. Kami mengarah ke Gunung Ruil manakala membelakang ke arah Barat Tea.
Kawasan ini pernah menjadi tapak perkhemahan bagi lebih kurang 80 orang peserta pada 1997.
Dah boleh senyum bila dah sampai sini. Nama tempat ni Kg Attap
Penebas berkaliber. Habis lapang tempat ni dikerjakannya.
Salah satu menu tampak menarik dan sedap.
Beginilah keadaan kami sementara makanan dimasakkan. Chef di hadapan... Tukang potong di belakang.



Lagi gambar Hari 2 bolehlah ke blog Cik Aishah.  




No comments:

Post a Comment

comment form message